Memahami Peruntukan-Peruntukan Penting Dalam Kontrak Polisi Insurans Hayat

Premium

Ini ialah wang yang anda bayar kepada syarikat insurans hayat untuk perlindungan insurans.

Bonus

Wang tambahan yang dibayar bersama-sama manfaat akhir polisi sertaan. Walau bagaimanapun, pemberian bonus tidak dijamin dan bergantung kepada prestasi pelaburan dana insurans anda.

Pinjaman Polisi

Anda boleh mengambil pinjaman polisi sekiranya polisi anda mempunyai nilai tunai. Faedah akan dikenakan pada pinjaman polisi anda.

Berbayar Terkurang

Jika polisi anda mempunyai nilai tunai, anda boleh memilih untuk berhenti membayar premium. Polisi anda akan terus berkuatkuasa tetapi nilai yang diinsuranskan akan berkurangan.

Bunuh Diri

Tiada sebarang bayaran akan dibuat kepada penama sekiranya kematian berpunca daripada membunuh diri dalam tempoh setahun perlindungan, seperti yang dinyatakan di dalam polisi anda.

Tempoh Membuat Keputusan

Anda boleh membatalkan polisi insurans anda dengan memulangkan polisi anda kepada syarikat insurans terbabit di dalam masa 15 hari selepas anda menerima dokumen-dokumen polisi anda. Premium yang anda bayar ditolak fi pemeriksaan perubatan yang dikenakan akan dikembalikan kepada anda.

Penyerahan Hak

Anda boleh memindahkan polisi insurans hayat anda kepada orang atau organisasi lain dengan syarat anda memberi notis bertulis kepada syarikat insurans anda.

Kerahsiaan Maklumat

Semua maklumat peribadi anda, termasuklah maklumat perubatan adalah rahsia dan syarikat insurans hayat anda tidak boleh sama sekali mendedahkan maklumat itu kepada pihak ketiga.

Pengecualian

Risiko yang tidak dilindungi polisi anda.

Nilai tunai/serahan

Apabila polisi anda telah berkuat kuasa selama minimum 3 tahun, ia memperolehi nilai tunai (atau nilai serahan). Ini ialah amaun tunai yang akan dibayar oleh syarikat insurans apabila anda membatalkan polisi anda. Walau bagaimanapun, anda akan rugi jika menyerahkan polisi sebelum ia matang.

Tempoh Tangguh

Jika anda lambat menjelaskan premium bulanan anda, tempoh tangguh selama 15 hari akan diberi untuk anda melunaskan bayaran anda. Untuk bayaran secara tahunan atau setengah tahunan, tempoh tangguh anda ialah 30 hari. Jika bayaran masih tidak dijelaskan di dalam tempoh tangguh, polisi anda mungkin luput atau tertakluk kepada polisi berbayar terkurang atau pinjaman premium automatik.

Pinjaman Premium Automatik

Sesetengah syarikat insurans akan secara automatik memberikan pinjaman pembayaran premium untuk anda jika anda tidak menjelaskan premium anda di dalam tempoh tangguh dengan syarat polisi anda mempunyai nilai tunai yang mencukupi. Walau bagaimanapun, anda akan dikenakan faedah ke atas amaun pinjaman premium yang tertunggak.

Tidak Boleh Tanding

Syarikat insurans tidak boleh mempertikai kesahihan polisi yang telah berkuat kuasa selama dua tahun. Sekiranya syarikat insurans anda enggan membayar tuntutan anda, syarikat insurans itu mestilah membuktikan anda memperoleh polisi tersebut melalui penipuan.

Pengembalian Semula

Polisi insurans yang telah luput boleh dihidupkan atau dikembalikan semula di dalam tempoh masa tertentu mengikut syarat-syarat tertentu.

Terma dan Syarat

Perkara-perkara di bawah terma dan syarat ini merupakan hak dan tanggungjawab anda dan syarikat insurans anda.

Leave a comment